Recent Post

Thursday, July 28, 2016

PKR belum buat keputusan, bimbang agihan kerusi - penganalisis


Anda Mahu Berkongsi Berita Ini?

Nampaknya rasa tidak puas hati semakin meningkat berhubung isu mengadakan pilihan raya negeri (PRN) mengejut di Pulau Pinang antara DAP, yang berminat ia diadakan, dan PKR, yang masih tidak yakin perlunya berbuat demikian.

Dan pemimpin dari kedua-dua buah parti itu telah tampil mempertahankan pendirian masing-masing.

DAP berminat mengadakan PRN mengejut itu sebagai satu referendum berkaitan setiausaha agungnya yang juga ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung tuduhan rasuah terhadapnya.

Parti itu mendakwa Lim menjadi mangsa penganiayaan politik, tetapi telah dinafikan oleh pihak berkuasa.

AMANAH telah berkata bahawa ia bersetuju PRN mengejut itu diadakan, dan kini tinggal PKR sahaja rakan kongsi Pakatan Harapan yang masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Malaysiakini bercakap dengan beberapa penganalisis politik mengenai perkara itu, yang bersetuju bahawa pendirian PKR itu dilihat berpunca dari kebimbangan mengenai pembahagian kerusi.

"DAP mungkin yakin untuk memenangi kerusi sekiranya satu pilihan raya diadakan di Pulau Pinang, tetapi PKR kurang yakin kerana isu-isu dengan PAS belum diselesaikan.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berkata jika AMANAH memutuskan untuk bertanding di kerusi PAS, ia boleh mencetuskan permusuhan antara Pakatan dan PAS.

Bagaimanapun, beliau percaya Pakatan Harapan boleh mengharungi episod itu dengan selamat memandangkan kerjasama dalam pakatan gabungan itu.

Tetapi, katanya episod itu akan merupakan ujian kepada kepercayaan dan kebergantungan di kalangan rakan-rakan gabungan itu yang telah wujud selama ini.

Bagi penganalisis politik Ahmad Atory Hussain pula, keputusan berhubung PRN mengejut itu belum dimuktamadkan lagi, dan oleh itu terlalu awal untuk mengatakan rakan-rakan dalam gabungan itu berselisih faham.

"Ini bukan muktamad lagi, jadi kita kena tunggu keputusan akhir yang akan dibuat oleh parti-parti komponennya.

"Ia agak sukar untuk mengatakan sesuatu (mengenainya) buat masa ini," katanya.

Ahmad berkata untuk mengadakan pilihan raya seumpama itu, perlu ada kerjasama yang kuat di kalangan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

"Saya rasa persoalannya ialah mereka (PKR) mahu satu jaminan berhubung pengagihan kerusi, memandangkan konfllik antara PAS dan AMANAH," katanya.

Dalam pilihan raya sebelum ini tidak ada AMANAH, maka dengan adanya pemain baru dalam pilihan raya, ia secara drastik boleh menjejaskan pengagihan kerusi dalam PRN mengejut itu, katanya.

PAS telah berkata bahawa ia bersedia untuk berdepan dengan Pakatan Harapan jika PRN mengejut berlaku di Pulau Pinang, walaupun ia belum membuat keputusan sama ada akan bertanding di kerusi di mana PKR mahu meletakkan calonnya.

PRN mengejut di Pulau Pinang dilihat sebagai satu cara untuk mengukuhkan kedudukan Lim, berikutan tekanan ke atasnya supaya meletakkan jawatan selepas dia didakwa dengan tuduhan rasuah bulan lepas.

Lim berkata keputusan untuk mengadakan PRN mengejut itu, bagaimanapun, mesti dibuat dengan persetujuan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan - PKR dan AMANAH.

DAP mempunyai 19 kerusi di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, PKR 10 dan PAS satu.

 [Baca berita penuh]




Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Popular Posts

Berita Harian

Malaysia Kini

Mypotnews Links

Submit ExpressFree Webmaster Tools
Ping search engines.

Contact Form

Name

Email *

Message *